UCAPAN PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH DI ATAS KOMITMEN SERTA PENGLIBATAN DALAM MELAKSANAKAN KURSUS PERDANA HAJI 1440H/2019M PERINGKAT NEGERI MELAKA

Alhamdullilah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, Kursus Perdana Haji (KPH) Negeri Melaka bagi Musim Haji 1440H/2019M telah berjalan dengan lancar dan sempurna pada 22-23 Jun 2019 bertempat di Masjid Sayyidina Abu Bakar, UTeM sebagai lokasi utama kursus.

 

Pusat Edu Pelancongan UTeM selaku pengurus majlis, merakamkan sejuta penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua sekreteriat dan sukarelawan dari pelbagai PTj UTeM, yang telah menjayakan KPH pada musim haji tahun ini. Yakinlah bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan dengan perancangan yang rapi, pelaksanaan yang penuh ikhlas dan tanggungjawab serta  ketelitian dari sebesar-besar  perkara sehinggalah perkara yang  paling kecil dengan meletakkan matlamat untuk memelihara reputasi UTeM sebagai matlamatnya, Insya-Allah akan membuahkan hasil yang terbaik buat semua.

 

Pemilihan UTeM sebagai lokasi penganjuran Kursus Perdana Haji pada musim haji tahun ini adalah bertepatan memandangkan lokasi UTeM yang strategik dan fasilitinya yang serba baik dapat memberikan seribu satu kepuasan dan keselesaan kepada bakal jemaah yang menjalani kursus ini. Selain itu, dengan kehadiran bakal jemaah ke kampus induk UTeM dan menginap selama dua hari satu malam secara langsung dapat mempromosikan UTeM kepada masyarakat luar.

 

Pengurusan dalam melaksanakan dan menganjurkan KPH ini bukanlah satu tugas yang mudah. Mengurus lebih seribu orang bakal jemaah haji yang datang dari pelbagai peringkat umur, latarbelakang yang berbeza dan daerah yang berlainan dari seluruh negeri Melaka pastinya sangat mencabar dan menduga kreativiti pelbagai pihak. Tugas ini pasti tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik tanpa koordinasi yang teliti dan komitmen yang tinggi dari semua pihak terutamanya sekreteriat dan sukarelawan yang bertugas sebelum dan sepanjang kursus ini berjalan.

 

Melalui pengurusan fasiliti yang telah dikordinasikan dengan baik dalam membantu Pengurusan Lembaga Tabung Haji Negeri Melaka melaksanakan KPH ini, tidak dapat tidak ianya pasti akan melibatkan  kerjasama beberapa pusat tanggungjawab dalam UTeM terutamanya Pusat Islam, Pejabat Pembangunan dan Pejabat Keselamatan; demi memastikan kelancaran kursus dan keselamatan Jemaah semasa berada dalam kampus; iaitu ke Masjid Sayyidina Abu Bakar yang berfungsi sebagai Masjidil Haram, Tapak Parkir Masjid yang berfungsi sebagai tempat untuk amali Saie, Tapak Letak Kereta Pusat Sukan sebagai Arafah, Padang Rugbi sebagai Muzdalifah, Tapak parkir Dewan Canselor sebagai Mina dan tapak praktikal melontar jamrah. Pergerakan jemaah dari satu lokasi amali ibadat ke lokasi berikutnya adalah sama, menyerupai pergerakan jemaah haji di Tanah Suci Mekah. Ini secara tidak langsung dapat memberikan gambaran dan suasana sebenar kepada bakal jemaah sebagai persediaan mental dan fizikal mereka ketika di sana kelak.

 

Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Prof. Madya Ir. Dr. Hambali bin Arep@Ariff bersama kumpulan penyelidiknya, yang berjaya memasarkan produk penyelidikan UTeM “Suci-Uris” kepada bakal Jemaah semasa program KPH ini berlangsung, dengan jumlah jualan yang amat membanggakan!

 

Segala maklumat dan aktiviti kursus ini telah dimuat naik ke halaman rasmi facebook Pusat Edu-Pelancongan UTeM, dan Y. Bhg. Dato’ /Datin /Prof /Dr./Tuan /Puan adalah dijemput untuk melayari laman facebook ini melalui pautan berikut;

  

Sesungguhnya, segala jasa dan bakti YBhg. Dato’/Datin/Prof/Dr./Tuan/Puan dan saudara–saudari dalam menjayakan KPH pada musim haji tahun ini sangatlah bermakna dan akan dikenang sebagai satu sumbangan yang amat dihargai, dan mudah-mudahan ukhuwwah ini kekal berpanjangan hingga ke akhir hayat.

Semoga kerjasama dan sokongan padu seperti ini akan berterusan di masa akan datang.

 

 

Sekian, terima kasih.

b/p

Pengarah

Pusat Edu-Pelancongan

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Contact Information:

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)
Universiti Teknikal Malaysia Melaka,
Hang Tuah Jaya,76100 Durian Tunggal
Melaka, Malaysia

Email: utourism@ utem.edu.my
Fax: +606-3316113 
VoIP +606-2702851

Scan and download our VCARD

Office Hour

Monday to Thusday
8.30am – 1.00pm
2.00pm – 5.00pm

Friday
8.30am - 1.00pm
3.00pm - 2.00pm